Sunday 13 October 2013

Ganjaran Menarik Pikat Orang Ramai Mohon Kerja Kerajaan




Gaji, emolumen, kemudahan dan faedah yang lebih berbaloi ditawarkan dalam perkhidmatan awam menarik minat lebih ramai rakyat memohon bekerja dengan kerajaan.

Ia terbukti apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima lebih dua juta pendaftaran dan permohonan pelbagai jawatan sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu rekod tertinggi sejak SPA ditubuhkan 56 tahun lalu.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam, berkata peningkatan mendadak permohonan membuktikan kerjaya dalam perkhidmatan awam yang menawarkan pelbagai faedah dan kemudahan menarik mendapat tempat di kalangan rakyat.

“Sepanjang tahun lalu, kita hanya menerima kira-kira 1.2 juta permohonan, berbanding lebih dua juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

“Faktor lain SPA menerima permohonan lebih dua juta adalah menerusi pendekatan lebih terbuka, termasuk permohonan 24 jam secara online, tempoh temu duga hingga malam dan pada hujung minggu,” katanya.

Menurut skim perkhidmatan sekarang, kakitangan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Perkhidmatan dan Sokongan Kumpulan Pelaksana kumpulan N17, mendapat gaji minimum adalah RM927.03 dan maksimum RM3,089.69 dengan kenaikan tahunan RM95.

Imbuhan tetap
Selain itu, mereka menikmati Imbuhan Tetap Khidmat Awam sebanyak RM115, Imbuhan Tetap Perumahan (RM180) dan Bantuan Sara Hidup atau COLA RM300 jika bertugas di Kuala Lumpur. Pendapatan bulanan mereka yang mula bekerja ialah RM1,522.03.

Untuk Diploma kumpulan N27 pula, gaji minimum ialah RM1,361.14 dan maksimum RM4,427.94 dengan kenaikan tahunan RM145. Imbuhan Tetap Khidmat Awam (RM160), Imbuhan Tetap Perumahan (RM180) dan COLA RM300 untuk yang bertugas di Kuala Lumpur. Mereka yang baru bekerja boleh memperoleh RM2,001.14 sebulan.

Mahmood, berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan SPA Ke-16 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, di sini semalam.

Persidangan empat hari itu disertai 150 pegawai daripada SPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Kerajaan Negeri Melaka

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment