Monday 21 October 2013

‘Doa di Makkah termakbul’



Pasir Puteh: “Doa keluarga dan beberapa saudara serta jiran yang pergi menunaikan haji di Makkah supaya ayah selamat, akhirnya dimakbulkan-Nya,” kata Mohamad Aswadi Abdul Aziz, 22, anak kepada Abdul Aziz Daud, 58, yang berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas 19 hari hilang di tengah laut.



Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, sejak ayahnya hilang 2 Oktober lalu, dia sekeluarga tidak mampu tidur lena, manakala ibunya, Asiah Ismail, 51, hilang selera makan.


“Setiap malam ibu tidak putus berdoa kepada Allah SWT, selain turut melakukan solat hajat supaya ayah dapat ditemui.

“Kami juga meminta saudara dan jiran yang pergi menunaikan haji supaya turut mendoakan keselamatan ayah,” katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Besut, Terengganu, semalam.


Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh ketika dihubungi berkata, sebuah kapal dan tiga bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diarahkan melakukan operasi mengesan mangsa sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.


Selain itu, katanya, pihaknya turut meminta bantuan daripada nelayan tempatan supaya segera menghubungi APMM jika berjaya menemui mangsa. “Pada 10 Oktober lalu, pihak kami mendapat maklumat daripada seorang nelayan bahawa dia menemui Abdul Aziz sebelum botnya ditambat pada unjam bagi mengelakkannya hanyut.

“Sebaik tiba, mangsa sudah tiada di lokasi selepas tali yang digunakan untuk mengikat pada unjam itu dikatakan terlucut menyebabkan botnya hanyut dibawa arus,” katanya.


Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor Asisten Superitendan Wan Ismail Wan Mamat pula berkata, pihaknya bersama penduduk kampung turut melakukan gerakan mengesan mangsa di sekitar perairan Tumpat dan Kota Bharu.

sumber- my metro

No comments:

Post a Comment