Friday, 4 April 2014

MH370: Saya Tidak Percaya Juruterbang Puncanya – Penceramah Antarabangsa



KUALA LUMPUR – Penceramah antarabangsa terkenal Prem Rawat berkata penemuan berharga daripada tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 boleh dijadikan pengajaran dan garis panduan oleh penumpang dan syarikat penerbangan.

“Tragedi seperti ini ada pengajarannya, nyawa manusia yang hilang juga, ada pengajarannya dan boleh dijadikan iktibar untuk meningkatkan keselamatan penumpang pesawat pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penceramah berasal dari India ini juga merupakan juruterbang berpengalaman yang telah melakukan 14,000 jam penerbangan. Prem berkata beliau tidak percaya ada juruterbang yang sanggup melakukan tindakan negatif ketika menerbangkan pesawat.

“Saya tidak dapat bayangkan keadaan yang dialami juruterbang berkenaan kerana apabila mengemudi pesawat, tidak ada juruterbang yang tergamak membahayakan dirinya, penumpangnya dan pesawat yang dipandunya, tetapi akan memastikan penerbangan kendaliannya berjalan lancar dan selamat,” katanya merujuk kepada spekulasi bahawa anak kapal MH370 mungkin melakukan sabotaj terhadap pesawat itu.

Prem dikenali ramai melalui kemunculannya dalam siri televisyen berjudul ‘Words of Peace’, yang telah memenangi pelbagai anugerah dan ditonton di 50 negara dalam 48 bahasa setiap minggu.

Melalui program selama 30 minit yang disiarkan ke seluruh dunia itu, Rawat memberi perspektif unik tentang cara yang boleh diamalkan oleh seseorang untuk menikmati kehidupan yang tenteram dan bahagia.
Prem sedang dalam siri jelajahnya ke Malaysia untuk menyampaikan ceramah di Segamat, Ipoh dan Putrajaya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment